AMY ELLINA YUNG ANAK MICHAEL
amyyagnes@blogspot.com
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN
KM 10, JALAN PADANG TENGKU
27200 KUALA LIPIS, PAHANG.
amyyagnes@blogspot.com
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN
KM 10, JALAN PADANG TENGKU
27200 KUALA LIPIS, PAHANG.
3.1 Pencarian Sumber Maklumat
Abstrak
Kemahiran mendapatkan ilmu menjadi teras kepada literasi maklumat. Di era teknologi ini, maklumat sangat mudah diperolehi. Situasi ini memerlukan setiap individu berupaya untuk memilih, mengguna dan menilai maklumat itu. Dalam persekitaran pendidikan di Malaysia, kemahiran-kemahiran maklumat dianggap penting dalam proses pencapaian serta kematangan pelajar. Penggunaan perpustakaan sebagai pusat sumber dalam proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan tidak dioptimumkan sepenuhnya kerana tanda aras pencapaian pelajar masih terikat dengan pencapaian dalam peperiksaan. Maklumat yang terdapat di perpustakaan tidak dapat diterokai oleh pelajar sepenuhnya dan ini menyebabkan penggunaan perpustakaan berada di tahap yang kurang memuaskan. Literasi maklumat adalah keupayaan seseorang untuk mengklasifikasikan jenis maklumat, memproses maklumat serta menilai maklumat supaya menjadi pengetahuan yang berguna dalam proses pembelajaran mereka. Kemahiran pencarian sumber maklumat bercetak dan elektronik adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari oleh pelajar dan pensyarah untuk membantu menilai kesahihan dan kualiti bahan yang djadikan rujukan dengan sumber rujukan di perpustakaan seperti buku dan sumber elektronik serta sumber tepat dari pencarian Google dan Internet.
Kemahiran mencari maklumat
Maklumat yang tepat menjamin ketepatan keputusan dan keberkesanan tindakan. Tanpa maklumat tertentu sesetengah keputusan tidak dapat dibuat atau sekiranya dibuat, boleh membawa akibat yang buruk. Dalam dunia yang semakin berasaskan maklumat dan mengalami kebanjiran maklumat, kita harus bijak mencari jalan bagi mendapat maklumat yang tepat dan menggunakannya dengan berkesan. Sebagai seorang pelajar haruslah bijak memilih bahan-bahan sumber dan alat pembelajaran supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna. Seterusnya sumber-sumber yang dipilih haruslah bersesuaian dengan aras kemahiran dan kebolehan pelajar.
Sumber adalah teras kepada pembangunan sesebuah negara. Ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui dan difahami untuk melengkapkan diri sebagai pencari maklumat yang mahir dan aktif. Pertama sekali adalah mengetahui sebab mencari maklumat, diikuti dengan memahami sikap manusia apabila berdepan dengan maklumat. Setiap orang mempunyai dorongan yang berbeza semasa mencari maklumat. Ada yang memerlukannya untuk tujuan ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain. Dorongan yang berbeza ini membentuk persepsi dan motivasi yang berbeza pula semasa berdepan dengan maklumat. Manakala sikap atau psikologi manusia itu turut mempengaruhi kemahiran mereka dalam mencari maklumat.
Terdapat pelbagai teknik untuk menganalisis sikap manusia semasa berhubungan dengan dunia maklumat. Salah satu teknik itu menunjukkan ada orang yang mencari maklumat sekadar di permukaan, ada yang mencari secara mendalam dan ada pula yang bersifat meneroka sejauh yang mungkin secara rawak. Memahami keperluan maklumat diri dan cara diri kita mencari maklumat adalah satu bentuk pemahaman di peringkat meta yang membolehkan kita menguasai kemahiran maklumat pada tahap yang lebih baik.
Selain itu, kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada sejauh mana seseorang itu tahu tentang bentuk dan sumber maklumat. Maklumat boleh wujud dalam bentuk artifak, lukisan, imej, ensiklopedia, indeks, abstrak, buku tahunan, almanak, jurnal, buku, majalah, cakera padat, mikrofilem, mikrofiche, lisan, kaset, video dan sebagainya. Manakala sumber maklumat pula boleh jadi daripada manusia, bahan bercetak, bahan digital, bahan artifak, bahan filem, bahan seni, bahan bunyi dan lain-lain.
Kemahiran mencari maklumat bagi setiap bentuk dan sumber ini berbeza pula dan memerlukan teknik yang berbeza juga untuk mendapat hasil yang sepatutnya. Contohnya untuk mencari bahan digital melalui enjin carian Google, sekiranya seseorang itu memahami konsep asas capaian kembali maklumat atau information retrieval dia akan dapat mencari bahan dengan lebih tepat berbanding orang yang tidak tahu. Begitu juga apabila ingin mencari bahan bercetak di perpustakaan, ada peraturan asas penyusunan buku di perpustakaan yang perlu difahami seperti nombor panggilan dan cara pengelasan bahan.
Termasuk dalam kemahiran mencari maklumat adalah kebolehan kita menduga di mana bahan yang kita kehendaki berada. Ini perlu dipelajari berdikit-dikit melalui pengalaman mencari maklumat yang terdahulu ataupun daripada pembacaan dan penerangan orang lain. Ada bahan digital yang boleh didapati di Internet, tetapi ada juga bahan yang kita tahu wujud di dunia maya tetapi tidak boleh dicapai kecuali menggunakan kata laluan dan sebagainya. Kita perlu peka dan menyiasat kewujudan bahan itu di tempat kita, mungkin melalui institusi tertentu yang boleh membantu. Ada juga bahan yang istimewa dan disimpan di tempat khusus dan memerlukan kebenaran khusus untuk menggunakannya seperti artifak atau bahan arkib.
Terakhir sekali adalah kebolehan kita untuk menilai maklumat yang telah berjaya kita cari dan ini masih lagi merupakan rentetan daripada kemahiran kita mencari maklumat. Kemahiran menilai maklumat ini wajar dibicarakan dalam satu ruangan lain yang akan memberi kesempatan sebuah penerangan yang lebih sempurna. Semua kemahiran mencari maklumat yang disebutkan di atas ada ditawarkan di pusat pengajian tinggi oleh pihak perpustakaan. Malah di peringkat antarabangsa, kemahiran ini dijadikan suatu subjek wajib bagi setiap fakulti dengan usaha sama antara pensyarah dan pustakawan.
Sebagai kesimpulannya, kemahiran mencari maklumat dan kemahiran pengurusan maklumat dapat dilihat dari segi kemampuan seseorang untuk mencapai matlamat dan tujuannya. Pengurusan maklumat yang cekap akan membangunkan akal budi manusia. Usaha untuk merentas jurang digital dan mengejar kemajuan teknologi negara maju pula harus menjadi agenda penting negara supaya rakyat sendiri tidak tercicir dalam menguasai maklumat, kerana maklumat adalah suatu bentuk kuasa.
Comments
Post a Comment